• Blogs I Follow

  • Login

Sejarah Sekolah

 

Sejarah penubuhan sekolah ini bermula pada 1977 apabila terbinanya sebuah bangunan sekolah yang didirikan dengan pelbagai pengalaman peritnya. Menurut maklumat yang boleh dipercayai bahawa ketika proses pembinaan bangunan tersebut dikatakan bahawa segala peralatan bahan binaan terpaksa diangkat/dipikul dari Bt. 5 Jalan Ranau Lama berhampiran SK. Togop dengan jauh perjalanan lebih kurang 1 jam. Ini kerana pada waktu tersebut belum ada jalan raya yang menghubungi kampung ini dengan Pekan Tamparuli. Walaupun sekolah ini pada ketika itu belum disahkan pendaftarannya namun ianya telah mula beroperasi dalam tahun yang sama iaitu 1977. Antara pengasas penubuhan sekolah ini ialah KK Sani Gimbot, En. Luntang Gobongoh, En. Meridin Tumpangon, dan En. Tanur Kudayan.

Sebelum sekolah ini dibuka, semua anak-anak dihantar bersekolah ke SK. Togop yang jauhnya 1 ½ jam perjalanan dari Kg. Lingga Baru dan melebihi 1 jam dari Kg. Bambangan Lama. Sekitar awal tahun 70-an, sekolah dewasa pernah beroperasi di Kg. Bambangan Lama khusus bagi memberi peluang pembelajaran kepada para penduduk dewasa yang sememangnya tidak pernah menerima pendidikan awal. Mereka diajar oleh guru-guru sukarela yang hanya mendapat sedikit saguhati daripada penduduk kampung. Namun atas beberapa cabaran dan kesulitan yang dihadapi sekolah ini hanya bertahan beberapa tahun sahaja. Dan bagi anak-anak dari Kg. Bambangan Lama, ibubapa telah mula menghantar anak-anak mereka bersekolah di SK. Malanggang Baru, Kiulu, Tuaran berpindah dari SK. Togop. Ketika itu, semua penduduk di Kg. Bambangan Lama menggunakan laluan yang melalui Kg. Malanggang Baru untuk pergi ke Pekan Kiulu ataupun Tamparuli lantaran ketika itu jalan raya yang melalui KG. Kiwoi dan Kg. Lingga Baru belum dibina. Salah satu perkara yang menarik tetapi amat mencabar dan memeritkan dalam laluan sejauh 1 ½ jam perjalanan ini ialah terpaksa menyeberangi sungai sebanyak 11 kali di samping laluan melalui bukit dan tebing yang curam.
Bagi pelajar dari Kg. Bambangan lama yang kini meliputi 70% daripada bilangan pelajar di SK. Lingga Baru ini, mereka mula menghantar anak-anak ke sekolah ini pada awal tahun 1980. Bilangan pelajar pada tahun pertama sejarah permulaan sekolah ini ialah hanya sera mai 15 orang sahaja; 1977. Guru Besar pertama berkhidmat di sekolah ini ialah En. Gadoh Baw Banda yang bertugas dari 1970 hingga 1990.
Dengan usaha dan kesungguhan, maka akhirnya sekolah ini telah disahkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran pada 27.11.1980 dengan no. pendaftaran: JPS/PSS/REN/0626 atas keluasan tanah 3.25 ekar sahaja. Surat kelulusan telah ditandatangani oleh En. Rauf Haji Mohd. Yassin, pegawai di Jabatan Pendaftaran dan Mohd. Hussein Ahmad Pengarah Pelajaran Sabah ketika itu.
Bangunan Blok A yang masih ada sehingga kini adalah atas tajaan Bank Dunia yang telah siap dibina pada 1982. Manakala bangunan Blok B; Projek Kilat telah siap dibina pada 1985.

Leave a comment